Khamis, 19 November 2015

Khamis, November 19, 2015
Paris Bergegar Lagi | Seorang wanita yang memakai jaket letupan meletupkan dirinya semalam ketika polis cuba menyerbu sebuah apartmen di subbandar ibu kota Perancis, dipercayai tempat persembunyian lelaki disyaki dalang kejadian berdarah di bandar berkenaan, minggu lalu.

Paris Bergegar Lagi

Seorang lelaki terbunuh dan tujuh ditangkap termasuk pemilik apartmen dan rakannya. Serbuan bermula sebelum Subuh dan berterusan hampir tujuh jam.

Pendakwa Paris, Francois Molins berkata, serbuan dilancarkan selepas intipan percakapan telefon serta saksi menunjukkan kemungkinan Abdelhamid Abaaoud - disyaki pengganas Negara Islam (IS) warga Belgium - berada dalam apartmen berkenaan di Saint-Denis bersama lima lain yang bersenjata.

Seorang pegawai polis kanan yang enggan dinamakan berkata, puluhan anggota polis yang menyerbu bangunan itu terkejut apabila penghuni apartmen berkenaan membalas dengan ganas.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan sama ada Abdelhamid terbunuh atau ditahan dalam kejadian itu.

Khabar angin mengatakan wanita yang maut itu isterinya juga belum dapat disahkan.

Molins berkata: “Setakat ini sesiapa pun tidak dibenarkan masuk ke situ jadi polis forensik belum memulakan tugas mereka. Mustahil untuk mengetahui identiti sebenar dua yang maut.”

Seorang lagi pegawai berkata, empat polis cedera.

Polis termasuk dari unit antirusuhan mengosongkan kawasan berhampiran tempat kejadian, manakala Datuk Bandar Saint-Denis Didier Paillard berkata, pengangkutan awam ke situ digantung dan sekolah ditutup semalam.

Sementara itu, pejabat pendakwa Paris berkata, pasukan SWAT menahan tiga orang di dalam apartmen berkenaan, namun identiti mereka belum dikenal pasti.

Presiden Perancis Francois Hollande mengadakan mesyuarat tergempar dengan menteri kanan di Istana Elysee untuk memantau serbuan itu.

Penduduk di situ, Baptiste Marie, 26, berkata, satu letupan menggegarkan kawasan itu sekitar jam 4 pagi (waktu tempatan).

“Kemudian berlaku letupan besar kedua disusuli dua lagi,” katanya.

Seorang lagi saksi, Amine Guizani terdengar letupan grenad dan tembakan senapang automatik.

“Tembak-menembak berterusan sejam tanpa henti. Kalashnikov dan letupan grenad. Kadangkala diam seketika sebelum bersambung semula,” katanya.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/94141#sthash.xnZsEaw6.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.