Ahad, 15 November 2015

Ahad, November 15, 2015
Suspek Dakwa Hantu (Mangsa Penggal Kepala) Halang Ambil Duit | Adik perempuan kepada suspek kes bunuh dan memenggal kepala seorang lelaki di Slim River semalam mendakwa abangnya itu berkelakuan pelik kerana sering dilihat bercakap bersendirian.

Suspek Dakwa Hantu (Mangsa Penggal Kepala) Halang Ambil Duit

Dia yang enggan dikenali memberitahu, abangnya berperangai sedemikian sejak tujuh tahun lalu namun mereka tidak pernah merujuk perkara itu kepada pakar psikiatri atau mana-mana perubatan moden.

Menurutnya, abangnya yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak menetap di Ipoh serta bekerja sebagai pemandu lori merupakan seorang yang baik cuma berperangai pelik.

“Selepas ditahan polis, abang sempat menceritakan tentang kejadian yang dilakukannya. Dia berkata ternampak timbunan duit di tepi jalan di Slim River.

“Dia mahu mengambil duit tersebut namun dihalang oleh hantu lalu memotong kepala hantu yang didakwa dilihatnya itu,” dakwanya.

Menurut wanita tersebut, dia terkejut dengan apa yang dilakukan oleh abangnya itu sambil menyifatkan ia sebagai dugaan berat yang dihadapi oleh mereka sekeluarga.

Katanya, dia tidak menyangka abangnya terlibat dalam kes itu kerana ketika berada ke rumah ibu dan bapa di sini baru-baru ini, abangnya tidak menunjukkan ge­lagat yang mencurigakan.

Tambahnya, abangnya berkelakuan seperti biasa malah sempat menunaikan solat Jumaat dan makan tengah hari bersama-sama sebelum ketibaan pasukan polis.

“Malah ketika polis mengepung rumah kami, saya masih tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah abang menunjukkan tempat dia meletakkan kepala mangsa dalam timbunan baja di hadapan rumah kami,” katanya.

Perbuatan ngeri suspek berusia 35 tahun itu mula dikesan ekoran penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala di dalam longkang di Jalan Kampung Batu 4, Jalan Persekutuan di Slim River dekat pada sebelah pagi.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Mat Isa berkata, mayat lelaki itu dijumpai orang awam pada pukul 2.10 pagi.

“Polis akhirnya berjaya menahan suspek ketika dia menyiapkan cangkul untuk mengorek lubang bagi menanam kepala mangsa di kawasan berdekatan rumahnya di Gerik.

“Polis turut menemukan kepala mangsa yang hendak ditanam oleh suspek. Suspek membawa kepala mangsa dari Ipoh ke Gerik menggunakan kereta yang dipandunya sendiri melalui Jalan Persekutuan dari Slim River ke Gerik,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan pada badan mangsa juga mendapati kesan kecederaan pada bahagian lengan kanan lelaki itu.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suspek-didakwa-sering-bercakap-sendirian-1.158435#


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.