Selasa, 29 Disember 2015

Selasa, Disember 29, 2015
1MDB: Penyokong Tegar Tun M Berpaling Tadah | Seorang ahli UMNO yang dahulu begitu lantang mengkritik kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini mula menyedari bahawa segala isu ditimbulkan terhadap pemimpin negara itu hanya sekadar tuduhan yang dibuat demi kepentingan pihak tertentu.

1MDB: Penyokong Tegar Tun M Berpaling Tadah
Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Rosli

Pengakuan itu dibuat Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawa­ngan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman yang juga pernah membuat surat terbuka kepada Presiden parti itu supaya berundur dan melepaskan jawatan beliau pada hujung tahun lalu.

Menurut Syed Rosli, ketika itu beliau merasakan Perdana Menteri wajar berbuat demikian berikutan isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta derma berjumlah RM2.6 bilion yang terpalit terhadap diri Presiden UMNO itu akan menjejaskan imej parti sekali gus akan melemahkan UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Namun selepas diteliti, dikaji dan mendengar penjelasan berfakta yang diberi termasuk daripada pihak 1MDB dan pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri sendiri, maka saya mula menyedari bahawa isu yang dikaitkan terhadap Datuk Seri Najib itu adalah tuduhan dan persepsi semata-mata.

“Ini kerana saya terfikir segala tuduhan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak termasuk bekas pemimpin kita dibuat tanpa bukti, mereka hanya memberikan persepsi tanpa menunjukkan sebarang bukti kukuh.

“Bagaimanapun, detik saya mula menyedari bahawa saya sudah jauh tersasar apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mula bertindak menyerang Perdana Menteri secara peribadi,” katanya.

Syed Rosli yang mengakui pengikut setia Dr. Mahathir berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila bekas Perdana Menteri itu mula menyentuh dan mengkritik soal peribadi Najib termasuk isterinya sehingga ke isu perkahwinan anak beliau.

“Maka saya telah bertindak untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan mendalam sehingga dimaklumkan sebab utamanya adalah kerana Perdana Menteri menolak budaya kronisme dalam kepemimpinan beliau.

“Malah, selepas perhimpunan haram Bersih 4.0 lalu, saya juga amat kecewa apabila Tun sebagai seorang pemimpin yang disegani sanggup turun menyertai himpunan haram itu, sedangkan beliau adalah salah seorang yang paling lantang dan tegas menentang demonstrasi jalanan,” katanya.

Menjelaskan faktor lain mengapa beliau membuat ‘pusingan U’ itu, Syed Rosli memberitahu, sehingga kini tiada pihak khususnya yang melemparkan pelbagai tuduhan itu tampil untuk membuat laporan polis.

“Mengapa tidak buat laporan polis? Adakah kerana tiada bukti,” soal beliau.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/politik/pengkritik-najib-buat-8216-pusingan-u-8217-1.173558


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.