Khamis, 24 Disember 2015

Khamis, Disember 24, 2015
Arwah Pernah Mengadu Sikap Kurang Ajar Pemandu Lori Bauksit : “Arwah isteri pernah mengadu mengenai sikap segelintir pemandu lori bauksit tidak bertanggungjawab sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.”

Arwah Pernah Mengadu Sikap Kurang Ajar Pemandu Lori Bauksit

Demikian luahan suami mangsa kemalangan maut akibat dirempuh tayar lori bauksit tercabut di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan kelmarin, Raziamir Muhamad Razali, 42, ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, atas alasan itu arwah isterinya selalu menggunakan jalan jauh untuk ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Balok kerana mahu mengelak lori-lori bauksit yang banyak menggunakan jalan utama menuju ke sekolah berkenaan.

“Kebanyakan mereka tidak bertanggungjawab, malah sewenang-wenangnya langgar lampu isyarat merah dan langsung tidak pedulikan keadaan masyarakat setempat,” katanya.

Katanya, arwah isteri sering mengadu dia terpaksa melihat cermin belakang setiap kali melalui lampu isyarat kerana sekiranya terdapat lori bauksit di belakang dipandu laju, dia terpaksa langgar lampu isyarat merah kerana bimbang dirempuh lori bauksit.

“Itu rungutan yang saya dengar dari arwah isteri,” katanya.

Norhaili Ahmad Zabidi, 40, yang merupakan seorang guru, maut akibat dirempuh tayar sebuah lori bauksit yang terpelanting dari kenderaan berat itu sewaktu dalam perjalanan dari rumahnya di Balok, di sini menuju ke bandar Kuantan dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

Menceritakan semula tragedi itu, Raziamir memberitahu kejadian berlaku begitu pantas dan dia tidak sempat berbuat apa-apa sewaktu melihat sebuah tayar terpelanting dari sebuah lori bauksit yang menggunakan laluan bertentangan menuju ke arah mereka berdua.

“Ketika itu saya memandu agak perlahan di laluan kiri sambil bersembang dengan arwah, sedar-sedar tayar tersebut sudah naik ke atas bonet kereta kami sebelum tepat mengenai arwah isteri saya.

“Saya segera berhentikan kenderaan dan memanggil isteri namun setelah melihat keadaannya ketika itu saya tahu dia sudah tiada lagi. Impak tayar tersebut begitu kuat sehingga membelah cermin dan bumbung kereta manakala isteri saya tercampak ke belakang kenderaan.

“Saya sedar bukan semua pemandu lori bauksit ini tidak bertanggungjawab tetapi saya benar-benar berharap agar penguatkuasaan ke atas lori-lori ini dilakukan secara lebih kerap dan berkesan untuk mendidik mereka mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/sering-merungut-sikap-pemandu-lori-1.465258


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.