Jumaat, 18 Disember 2015

Jumaat, Disember 18, 2015
Jika Abang Saya Salah Sekalipun, Kenapa Belasah Sampai Mati? | “Jika benar dia melakukan kesalahan sekalipun, kenapa mereka membelasahnya hingga nyawa abang saya melayang.”

Jika Abang Saya Salah Sekalipun, Kenapa Belasah Sampai Mati?

Demikian luahan Noor Hazarrudin Abd Halim, 29, mengenai kejadian yang menimpa abangnya, Koperal Noor Hisham, 32, yang maut akibat dibelasah beberapa individu dalam kejadian di sebuah premis membela burung walet di Sitiawan, Manjung, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sitiawan, disahkan meninggal dunia jam 6 petang ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seri Manjung.

Mangsa yang berasal dari Langkawi, Kedah, dikatakan ditemui orang awam dalam keadaan lemah dan tertiarap di tingkat empat premis berkenaan sebelum diberi bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), namun gagal diselamatkan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, jam 11 malam untuk dibedah siasat dan di fahamkan, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan tisu lembut pada beberapa bahagian badan akibat hentakan objek tumpul.

Noor Hazarrudin berkata, dia mendapat maklumat kejadian itu pada jam 7 malam kelmarin.

“Saya bertugas di Kuala Lumpur ketika itu dan menerima panggilan telefon daripada bapa memberitahu mengenai kematian abang.

“Saya mengambil ibu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini awal pagi tadi ,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, dia tidak mengetahui punca sebenar kejadian, namun berdasarkan maklumat yang diterima, arwah abangnya itu dipercayai dipukul kumpulan lelaki hingga meninggal dunia.

“Saya difahamkan abang dipukul, namun punca sebenar masih tidak diketahui dan saya akan berhubung dengan polis untuk mengetahui lebih lanjut perkara ini.

“Jika benar abang saya dibelasah hingga mati, saya harap mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Noor Hazarrudin berkata, dia rapat dengan abangnya itu dan kali terakhir mereka bertemu dua minggu lalu di Manjung.

“Kami empat beradik iaitu dua lelaki dan dua perempuan, arwah anak kedua dan yang sulung kakak, manakala saya ketiga dan ada adik perempuan bongsu.

“Dia satu-satunya abang saya dan kami memang rapat. Saya sebak mengenangkan nasib isteri arwah abang yang hanya suri rumah dan tiga anak mereka yang masih kecil iaitu anak sulung perempuan berusia enam tahun dan anak kedua (lelaki) berusia lima tahun dan paling bongsu (perempuan) hanya baru berusia empat bulan,” katanya.

Menurutnya, jenazah arwah abangnya yang dituntut jam 1.30 tengahari semalam dibawa pulang ke Langkawi untuk dikebumikan di Kampung Nyiur Cabang, Padang Mat Sirat.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/100634#


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.