Rabu, 9 Disember 2015

Rabu, Disember 09, 2015
Mara Digital A.K.A Low Yat Kini Di Buka | Pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi yang diusahakan peniaga Melayu dan bumiputera, Mara Digital mula dibuka kepada orang ramai hari ini.

Mara Digital A.K.A Low Yat Kini Di Buka

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ala Low Yat yang terletak di Menara Mara di sini memberi satu lagi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan lebih murah dan dijamin ketulenannya di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, penubuhan pusat perniagaan yang telah direalisasikan selepas tiga bulan cadangan pelaksanaannya itu akan menjadi projek permulaan sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada tahun depan.

Kata beliau, sebanyak 38 outlet disediakan di tingkat tiga bangunan itu yang menawarkan enam bulan pengecualian sewa bulanan kepada para peniaga yang terlibat.

“Kita mendapat lebih 100 permintaan daripada para usahawan Melayu dan bumiputera untuk menjalankan perniagaan di sini, namun kita hanya mengehadkan kepada 38 sahaja berikutan kekangan ruang niaga.

“Namun, kita percaya pusat sehenti digital ini akan menjadi tum­puan orang ramai berikutan loka­sinya yang strategik di tengah-tengah ibu kota dan berdekatan dengan ja­ringan pengangkutan awam,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis pe­rasmian Mara Digital.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Ariff Abdul Rahman; Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Mara Inc., Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ismail Sabri sebelum ini mencadangkan penubuhan sebuah pusat jualan dan borong alat telekomunikasi yang menyamai fungsi Plaza Low Yat di Bukit Bintang yang bertujuan memasarkan produk berkualiti dan tulen demi manfaat pengguna keseluruhannya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, penubuhan Mara Digital itu bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana pusat barangan digital seumpamanya tetapi memberi peluang kepada peniaga Melayu bumiputera untuk menceburkan diri dalam industri tersebut.

Katanya, pihaknya tidak mene­tapkan kawalan harga untuk setiap barangan digital yang dijual sebaliknya mengamalkan pasaran bebas dengan menawarkan banyak pilihan kepada pengguna.

Namun katanya, beliau percaya harga yang ditawarkan lebih kompetitif tetapi mampu memberi keuntungan sewajarnya kepada para peniaga.

“Walaupun peniaga hanya dikhususkan untuk golongan Melayu bumiputera, namun kita harap pengguna daripada semua kaum dapat memilih Mara Digital untuk mendapatkan gajet terkini pilihan mereka.

“Selain pengecualian sewa bulanan untuk enam bulan pertama, segala aktiviti promosi akan dikendalikan pihak Mara dan kita percaya peniaga mampu menjana keuntu­ngan dengan memberikan tawaran harga yang menarik kepada pengguna,” katanya.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mara-digital-ala-low-yat-kini-dibuka-1.167113#


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.