Selasa, 29 Disember 2015

Selasa, Disember 29, 2015
Penduduk RKT Chalil Terputus Hubungan, 2 Jambatan Di Tenggelami Air : Hujan berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di Gua Musang terputus hubungan apabila menyebabkan dua jambatan yang merentasi Sungai Chalil ditenggelami air.

Penduduk RKT Chalil Terputus Hubungan, 2 Jambatan Di Tenggelami Air

Kedua-dua jambatan utama itu, yang menghubungkan RKT Kesedar Chalil dengan kawasan lain termasuk bandar Gua Musang, ditenggelami air limpahan sungai itu sedalam 0.8 meter sejak 3 petang semalam.

Ketua Peneroka RKT Kesedar Chalil, Mat Lazim Yaacob berkata kebanyakan peneroka yang ke bandar Gua Musang atau tempat lain tidak dapat pulang ke rumah masing-masing kerana terputus hubungan.

Beliau berkata jambatan itu sering ditenggelami air setiap kali hujan lebat walaupun di luar musim tengkujuh, menyebabkan penduduk bimbang untuk keluar dari kampung berkenaan.

"Hujan berterusan ketika ini... kemungkinan air sungai semakin naik dan mengambil masa agak lama untuk surut selepas hujan berhenti," katanya kepada pemberita semalam.

Mat Lazim berkata penduduk di kawasan rendah RKT itu juga bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan jika hujan berterusan.

"Pada musim tengkujuh tahun lepas, jambatan itu juga tenggelam hingga menyukarkan para penduduk," katanya.

Sementara itu, seramai 36 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Guchil 7 di Kuala Krai dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Pejabat Vaterinar Kuala Krai malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Mohamad Hanif Che Khalid berkata mangsa yang terdiri daripada 23 dewasa dan 13 kanak-kanak dipindahkan bermula 7 malam tadi.

"Kampung ini terletak di kawasan rendah yang sering dinaiki air berikutan limpahan air Sungai Durian apabila hujan lebat berterusan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata beberapa kawasan rendah lain turut dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam namun tiada penduduk yang dipindahkan dan semua jalan raya di Jajahan Kuala Krai boleh dilalui.

Sementara itu, paras air sungai utama di negeri ini masih di bawah paras waspada kecuali Sungai Lebir di Tualang di paras amaran 31.25 meter (bahaya 35 meter).

- Bernama


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.