Jumaat, 15 Januari 2016

Jumaat, Januari 15, 2016
2 Pelajar Maut, 2 Lagi Cedera, Lori Hantu Mengelongsor | Dua pelajar perempuan maut dan dua lagi cedera selepas sebuah lori tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai `lori hantu’ hilang kawalan dan merempuh 37 kenderaan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana.


Mereka yang maut ialah Wong Siow Xuen dan Lau Zi Xin, kedua-duanya berusia 13 tahun dan dipercayai pelajar di sekolah tersebut.

Difahamkan, kedua-dua pelajar tersebut dikatakan berada berhampiran sebuah van yang diletakkan di pinggir jalan bertentangan sekolah tersebut.

Sementara itu, mangsa yang cedera pula ialah seorang wanita, Norhaslidalini Hamzah yang sedang berniaga ayam goreng tidak jauh dari tempat kejadian dan seorang pemandu kereta wanita.

Haslidalini dikatakan melecur akibat terkena simbahan minyak panas selepas warungnya dirempuh oleh van yang diseret lori berkenaan. Identiti pemandu wanita tidak diperoleh.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, lori ‘hantu’ yang dipercayai datang dari sebuah tapak pembinaan kira-kira 500 meter dari sekolah tersebut dikatakan hilang kawalan semasa menuruni kawasan berbukit di situ.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, selain sebuah kenderaan Toyota Avanza, kereta Proton Wira serta van jenis Nissan Vanette yang dinaiki dua pelajar berkenaan, kemalangan tersebut turut melibatkan 34 buah motosikal yang diletakkan di pinggir jalan bertentangan sekolah berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila pemandu lori tersebut yang dipercayai warga Indonesia meletakkan lorinya di bahu jalan sebelah kiri yang menuruni bukit sebelum pergi menjamu selera.

“Kira-kira lima minit selepas itu, tiba-tiba ada seorang pengawal pintu pagar yang dikenali sebagai Siti telah menelefon pemandu lori tersebut dan menyatakan lori ber­kenaan telah menggelongsor dan melanggar deretan motosikal serta pelajar sekolah.

“Polis percaya lori yang diletakkan di atas bukit dalam keadaan kepala ke bawah itu telah diganggu oleh pekerja yang tidak dikenal pasti. Lori tersebut disyaki menggelongsor laju sebelum melanggar pelajar dan orang awam,” katanya di sini hari ini.

Jelas Willey, mayat kedua-dua mangsa itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera pula telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Ketika ini, semua pemilik kenderaan yang terlibat termasuk motosikal sedang dikesan manakala pemandu lori tersebut pula telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan,” katanya.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/2-maut-2-cedera-dirempuh-8216-lori-hantu-8217-1.179808


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.