Rabu, 13 Januari 2016

Rabu, Januari 13, 2016
Bayi 3 Bulan Kritikal Di Abai Pengasuh | Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan kritikal dipercayai akibat pendarahan dalam kepala selepas didakwa diabaikan  pengasuhnya di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Jitra.

Bayi 3 Bulan Kritikal Di Abai Pengasuh

Bapanya Ashraf Abdullah berkata Alfateh dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira 2.40 petang semalam dan keadaannya masih kritikal.

Katanya beliau menerima panggilan daripada pihak taska itu pada 12.11 tengah hari semalam yang memaklumkan anak lelakinya demam.

Ashraf, 35, yang juga pensyarah di sebuah universiti awam di Perlis, kemudian ke taska itu dan mendapati anak bongsu daripada tiga beradik itu dalam keadaan lemah serta mempunyai kesan lebam pada dagu kiri dan kepala.

"Ketika mendapat rawatan di sebuah pusat rawatan kanak-kanak di Jitra, anak saya mengalami sawan dan keadaannya sangat kritikal. Saya diminta pakar perubatan pusat rawatan itu supaya menghantar anak saya ke HSB bagi mendapat rawatan lanjut kerana dipercayai mengalami pendarahan dalam kepala," katanya ketika ditemui di hospital itu hari ini.

Ashraf berkata beliau amat kecewa dengan pengabaian pihak taska itu dan mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pusat asuhan itu, yang berdaftar dengan Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM).

"Saya tidak mahu anak orang lain menjadi mangsa disebabkan pengabaian pengasuh taska itu," katanya sambil mendakwa taska itu tidak mengikut prosedur operasi standard dalam mengasuh bayinya.

Menurutnya walaupun tinggal di Changlun, beliau menempatkan bayinya di taska itu kerana ia berdekatan dengan tempat kerja isterinya Siti Marlini Md Ghuzali, 34, yang bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di sebuah sekolah di Jitra.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah berkata pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati taska tersebut mempunyai tiga pengasuh dan seorang daripadanya ditugaskan menjaga tiga orang bayi termasuk Alfateh.

"Kita akan tahan pengasuh itu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pegawai JKM Daerah Kubang Pasu Mohd Fadhuli Wahab berkata pihaknya telah bertemu dengan waris bayi itu di HSB bagi melakukan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

"Setakat ini, kita masih menunggu laporan dan siasatan Polis untuk tindakan lanjut. Kita juga akan menghantar kaunselor untuk bertemu dengan ibu bapa bayi tersebut dan pengasuh yang terlibat akan diberi kaunseling," katanya dalam kenyataan hari ini.

sumber
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/01/12/bayi-tiga-bulan-kritikal-disyaki-diabai-pengasuh/


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.