Jumaat, 15 Januari 2016

Jumaat, Januari 15, 2016
Dua Cedera, 1 Maut Di Pasar Borong Selayang | Tidak sampai enam jam, dua cedera terkena tembakan rambang yang dilepaskan ke arah orang awam dan seorang maut diserang dengan senjata tajam di Pasar Borong Jalan Ipoh.

Dua Cedera, 1 Maut Di Pasar Borong Selayang

Dalam kejadian pertama kira-kira 10 malam tadi, seorang lelaki berumur 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, kedua-duanya warganegara Myanmar cedera selepas terkena tembakan rambang oleh sekumpulan suspek.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, berdasarkan maklumat saksi, kira-kira lima suspek menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dilihat melepaskan tembakan secara rambang di luar deretan kedai di lokasi berkenaan.

"Jarak tempat kedua-dua mangsa ditembak adalah kira-kira 200 meter. Sebanyak lima kelongsong serta dua anak peluru ditemui di tempat kejadian," katanya kepada Bernama.

Munusamy berkata seorang lelaki tempatan ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

"Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Usaha giat akan diteruskan untuk mengesan suspek lain yang masih bebas," katanya.

Manakala kejadian kedua menurutnya berlaku pukul 3.45 pagi tadi dengan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam kawasan pasar borong dengan lima kesan tikaman di tubuhnya.

"Menurut saksi di tempat kejadian, simati telah diserang oleh dua lelaki yang menaiki motosikal bersenjatakan pisau. Kes belum melibatkan sebarang tangkapan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ditanya sekiranya kedua-dua kes berkaitan, Munusamy berkata ianya masih disiasat. - Bernama

sumber
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dalam-enam-jam-dua-ditembak-seorang-dibunuh-1.472715


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.