Rabu, 13 Januari 2016

Rabu, Januari 13, 2016
Ibu Bapa Saman Tadika Setengah Juta : Seorang ibu kanak-kanak yang melecur tersimbah sup ayam di sebuah tadika di Jalan Telipot, dua tahun lalu, memberitahu Mahkamah Sesyen Kota Bharu, pengasuh di taska berkenaan tidak mempunyai pengetahuan asas berhubung rawatan awal melecur.

Ibu Bapa Saman Tadika Setengah Juta

Wakil plaintif, Nor Ashikim Md Arifin, 30, berkata sedemikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama pada hari pertama perbicaraan kes anak tunggalnya atau plaintif, Nur Airish Daniesya Norizal, 5.

Katanya, pengasuh berkenaan tidak memberi rawatan awal kepada mangsa yang sepatutnya disiram dengan air sejuk sejurus terkena sup panas berkenaan.

“Mereka (pengasuh) tidak ada latihan asas sekiranya berdepan kes sebegini dan tidak melakukan perkara sepatutnya iaitu menyiram dengan air sejuk bagi mengurangkan kecederaan.

“Oleh sebab itu, anak saya cedera teruk dan menerima rawatan di Unit Kebakaran HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) selama seminggu serta masih menerima rawatan susulan bersama pakar di hospital sama hingga sekarang,” katanya.

Pada prosiding itu, Nor Ashikim turut menceritakan kembali detik hitam yang berlaku pada 25 Ogos 2014. Pada jam 10 pagi, dia menerima panggilan telefon daripada suami Norizal Alim, 33, memberitahu anak mereka berada di Kota Bharu Medical Centre kerana kes kecemasan yang berlaku di tadika.

“Pihak hospital bagaimanapun menolak untuk merawat anak saya menyebabkan kami membuat keputusan untuk menghantarnya ke HUSM. Setimbanya di hospital, saya sangat terkejut melihat keadaan anak yang sangat lemah, berbalut tuala dengan cedera melecur seluruh badan termasuk muka.

“Kos rawatan sepanjang tempoh itu dianggarkan berjumlah RM5,000. Krim kulit berharga RM50 dibeli setiap seminggu. Dia juga perlu memakai baju khas yang ditempah dengan hospital berharga RM160 yang dibasuh setiap hari bagi mengelak jangkitan serta perlu diganti setiap bulan kerana mudah koyak,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, kata Nor Ashikim lagi, dia juga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama 21 hari bagi menjaga anaknya selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada 31 Ogos 2014.

“Kejadian turut memberi kesan negatif kepada anak saya apabila dia merasa rendah diri dan kemurungan terutama apabila ditanya rakan sebaya tentang kesan parut di badannya. Saya turut risau akan masa depanya dan apabila dia dewasa nanti, lebih-lebih lagi dia adalah perempuan,” katanya.

Pada 3 Disember 2014, plaintif melalui peguam cara Tetuan Rozma Baharin & Co mengemukakan saman terhadap taska berkenaan dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM500,000 bagi kos rawatan, kesakitan, kesusahan serta trauma yang dialami selain ganti rugi am dan teladan atas kecuaian dan kelalaian defendan dalam mengambil langkah keselamatan menguruskan taska berkenaan.

Dalam kejadian lalu, mangsa yang berusia 3 tahun dan baru 17 hari mendaftar masuk ke tadika tersebut melecur 42.5 peratus akibat terkena sup ayam panas yang dikatakan tertumpah ke atas mangsa serta rakannya, Nur Afiqah Mazran, 2.

Nur Afiqah turut mengalami nasib sama, namun sebelum ini ibunya, Noradillah Ismail, 37, memberitahu tidak berhasrat mengambil tindakan ke atas pengusaha tadika berkenaan.

Perbicaraan bersambung 3 Februari depan.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/kelantan/ibu-bapa-kanak-kanak-saman-tadika-setengah-juta-ringgit-1.472256


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.