Ahad, 10 Januari 2016

Ahad, Januari 10, 2016
Kisah Peneroka Bukit Goh Tolak Tawaran Bauksit RM1 Juta Patut Di Jadikan Tauladan | Seorang peneroka FELDA Bukit Goh, nekad untuk tidak memajak ladang sawitnya bagi dijadikan kawasan perlombongan bijih bauksit walaupun menerima tawaran mencecah RM1 juta.

Kisah Peneroka Bukit Goh Tolak Tawaran Bauksit RM1 Juta Patut Di Jadikan Tauladan

Salwani Tajuddin, 37, berkata biarpun ramai peneroka yang menjadi jutawan segera kerana memajak tanah mereka, namun kini terdapat sebilangan mereka hidup seolah-olah merempat.

"Memang dulu ada yang hidup mewah kerana menerima deposit yang tinggi daripada pengusaha bauksit, tapi duit yang banyak itu hanya dapat bertahan untuk sementara waktu dan mereka harus menunggu pula tempoh yang lama untuk menerima pulangan hasil perlombongan bauksit.

"Ada peneroka yang kini terpaksa jadi jaga kerana wang sudah habis. Tanah ladang sawit pun habis digondol untuk mendapatkan bauksit," katanya.
Salwani berkata, pada awal tahun 2015, dia didatangi seorang lelaki yang menawarkan deposit RM500,000 untuk mengorek bauksit di ladang sawitnya seluas empat hektar.

Katanya, selepas tawaran itu ditolak, lelaki berkenaan kembali semula beberapa hari kemudian dengan menjanjikan tawaran lebih tinggi yang mencecah RM1 juta.

"Selepas saya turut menolak tawaran RM1 juta itu, lelaki itu menjadi berang dan berkata saya bodoh kerana menolak wang sebanyak itu. "Namun bagi saya, mereka yang memajak tanah sawit kepada pengusaha bauksit, itulah yang sebenarnya rugi kerana gelap mata dengan duit yang hanya dapat bertahan untuk beberapa ketika, tetapi tanah mereka tidak akan kembali seperti dahulu," katanya.

Salwani yang sudah 18 tahun menjadi peneroka, berkata dia tidak mahu ladang sawitnya menjadi seperti padang jarak padang tekukur akibat digondol dengan rakus.

Menurutnya, individu yang sanggup memberi wang RM1 juta itu tidak mudah berputus asa kerana beberapa bulan kemudian dia didatangi lelaki sama memohon supaya tanahnya dijadikan pula kawasan menyimpan lori dan bijih bauksit dengan bayaran RM5,000 sebulan, namun tetap ditolaknya.

"Untuk menjadikan tanah saya sebagai tempat simpanan pun saya tidak mahu. Memang pada mulanya mereka (pengusaha bauksit) hanya mahu meletak barang mereka, namun lama kelamaan mereka mahu pula mengorek tanah kita," katanya.

Salwani berkata, ladangnya yang terletak di tepi jalan menarik minat beberapa pengusaha bauksit. Sementara itu, bapanya, Tajuddin Harun, 68, yang memiliki warung makan, berkata pengusaha bauksit juga tidak mematuhi janji mereka untuk memberi pampasan pembersihan akibat pencemaran bauksit sebanyak RM1,000 sebulan kepada setiap peniaga makan terbabit dan RM500 kepada setiap pemilik rumah.

Katanya, dia hanya menerima pampasan RM1,000 bagi satu bulan sahaja dan tidak lagi menerimanya selepas itu. Selain itu, dia juga terpaksa melindungi warungnya dengan plastik bagi mengelak pencemaran bauksit yang diangkut dengan lori.

"Perniagaan saya juga terjejas kerana tidak ramai lagi pelanggan yang datang akibat pencemaran debu merah," katanya. - BERNAMA

sumber
http://www.bharian.com.my/node/112817


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.