Jumaat, 22 Januari 2016

Jumaat, Januari 22, 2016
Maharaja Kinta Tabal Diri Sebagai Sultan | Selain individu yang mendakwa ‘Sultan Melaka’ dan ‘Raja Kerinci Tinggi Sumatera’ atau Bonda Ratu, kini muncul lagi seorang lelaki bergelar ‘Maharaja Kinta’.

Maharaja Kinta Tabal Diri Sebagai Sultan

Dia hanyalah orang biasa, tinggal di sebuah kawasan di pinggir Kuala Lumpur tetapi 'ditabalkan’ sebagai 'Maharaja Kinta Mahkota Alam’. Dia juga mengadakan majlis penganugerahan darjah dan pingat membawa gelaran 'Datuk’ dan 'Datuk Seri’ kepada individu yang berminat.

Tetapi apa yang anehnya, biarpun tidak diiktiraf oleh kerajaan namun lelaki tersebut menggunakan nama 'Yang Mulia Datuk Seri Paduka Raja’ di dalam kad pengenalannya. Ahli-ahli keluarganya juga berbuat demikian dengan pelbagai gelaran.

Satu sumber mendakwa, upacara mentabalkan individu tersebut berlangsung pada November lalu di Selangor dengan diuar-uarkan sebagai ‘Majlis Pemasyhuran Maharaja Kinta Mahkota Alam’.

“Selain upacara mirip pertabalan raja-raja dilakukan seperti adat bersiram, turut diadakan penganugerahan darjah dan pingat khususnya yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kata sumber itu, lelaki berusia sekitar 60-an tersebut diisytiharkan sebagai ‘Maharaja Kinta’ dengan menggunakan gelaran ‘Yang Mulia Dato’ Seri Paduka Raja....’.

“Walaupun sebahagian kaum keluarga tersebut mempercayai mereka daripada keturunan Panglima Kinta berdasarkan satu dokumen yang didakwa disahkan oleh Jabatan Arkib Negara, tetapi ia bukanlah bermaksud mereka mempunyai hak menganugerahkan darjah dan pingat kepada seseorang.

“Tetapi apa yang berlaku, ‘Maharaja Kinta’ tersebut berbuat demikian dan sesetengah ahli keluarganya menggunakan pelbagai pangkat termasuk ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk,’’ katanya.

Apa yang mengejutkan, walaupun ‘pertabalan’ tersebut tidak diiktiraf oleh kerajaan tetapi lelaki berkenaan menggunakan gelaran dalam kad pengesahan nama yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Tindakan itu menimbulkan persoalan bagaimanakah pendaftaran nama tersebut boleh dilakukan sedangkan ia melibatkan penganugerahan yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

“DIfahamkan ada orang tengah menguruskan perkara itu dengan bayaran tertentu,’’ kata sumber berkenaan.

Malah difahamkan beberapa ahli perniagaan dan artis yang turut menerima pingat daripada ‘Maharaja Kinta’ tanpa segan silu menggunakan gelaran itu dalam iklan-iklan akhbar bagi mempromosikan perniagaan mereka.

Ditanya adakah penganugerahan darjah dan pingat membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ oleh ‘Maharaja Kinta’ melibatkan jumlah bayaran tertentu, sumber pihak berkuasa berkata, ada dakwaan mengatakan untuk anugerah ‘Datuk’ ia berharga RM40,000.

“Tetapi kita tidak tahu sejauh manakah kebenarannya, cuma apa yang pasti pertabalan dan penganugerahan melibatkan ‘Maharaja Kinta’ itu melanggar undang-undang,’’ kata sumber berkenaan.

Sumber juga memberitahu, mengikut perancangan ‘Maharaja Kinta’ akan mengadakan majlis penganugerahan pingat pada Februari ini yang akan turut dihadiri oleh ‘raja-raja Nusantara’

“Bagaimanapun difahamkan ia ditangguhkan ke bulan April berikutan media ketika itu sedang heboh kisah penganugerahan darjah dan pingat palsu.

Selain itu, buat masa ini ahli keluarga ‘Maharaja Kinta’ juga telah diarahkan menanggalkan kesemua plak dan nombor plat pada kenderaan masing-masing yang memaparkan gelaran dan logo ‘Maharaja Kinta’,’’ katanya.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-tabal-jadi-maharaja-kinta-1.180402#


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.