Selasa, 22 Mac 2016

Selasa, Mac 22, 2016
Mewah Hasil Songlap Duit Kerajaan | Kemewahan melampau. Mempunyai kereta mewah, dua buah rumah, 40 beg tangan berjenama, barangan kemas, insurans, unit amanah bernilai jutaan ringgit dan kerap berkunjung ke luar negara bersama isteri serta dua anaknya dengan penerbangan kelas pertama yang kosnya kira-kira RM80,000 seorang.

Mewah Hasil Songlap Duit Kerajaan

Antara barangan paling mahal dimiliki ialah kereta jenama Lexus yang dianggarkan berharga RM468,000, cincin mutiara (RM600,000), beg tangan Hermes (RM400,000) dan set alas tidur (RM300,000).

Itu hidup mewah yang dikecapi seorang setiausaha bahagian yang menduduki senarai kelapan terpenting dalam sebuah kementerian hasil `imbuhan’ disyaki diterimanya selepas mendalangi sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Kelicikan lelaki berusia 56 tahun yang mula memegang jawatan itu sejak 2008 bagaimanapun terbongkar apabila diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Tiris di sekitar Lembah Klang sejak Khamis lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, turut diberkas ialah lapan kontraktor syarikat berkaitan penganjuran acara termasuk seorang wanita yang bersekongkol dengannya yang menjalankan penipuan tersebut.


Beliau berkata, modus operandi sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2010 itu ialah menggunakan suspek untuk mengarahkan bahagian kewangan agensi di kementerian membuat bayaran kepada 14 syarikat yang 'dikendalikan' kontraktor terlibat bagi menjayakan program berkaitan acara sukan.

“Sebenarnya tiada tuntutan dikemukakan oleh syarikat kepada agensi berkenaan tetapi pegawai kanan tersebut memainkan peranan memastikan bayaran dibuat kepada syarikat terbabit.

“Hasil `pakatan’ yang dibuat, pegawai kanan berkenaan menerima pelbagai imbuhan antaranya berbentuk insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit serta pemberian kad kredit bagi membolehkannya hidup mewah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan penahanan yang dibuat ujar Azam, SPRM telah menyita dua buah rumah yang didakwa milik pegawai kanan kerajaan itu iaitu sebuah banglo dan rumah teres selain merampas 12 buah kenderaan mewah.

“Kita juga merampas barang kemas yang ada di antaranya bernilai RM600,000, jam tangan mewah sehingga mencecah RM400,000, berpuluh beg tangan berjenama yang salah satunya bernilai RM400,000. Selain itu, set alas tidur bernilai lebih RM300,000 dan lukisan berjenama bernilai lebih RM60,000 serta pakaian berjenama.

Mewah Hasil Songlap Duit Kerajaan

“Jumlah keseluruhan habuan yang diterima suspek ialah RM20 juta termasuk RM8.33 juta baki wang di dalam akaun miliknya yang kini dibekukan,” katanya dalam sidang akhbar.

Azam memberitahu, buat masa ini siasatan menunjukkan pegawai kanan tersebut merupakan dalang utama sindiket berkenaan.

Tambahnya, kesemua suspek berusia 28 hingga 56 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mewah-hasil-seleweng-dana-1.202505


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.