Selasa, 8 Mac 2016

Selasa, Mac 08, 2016
Ustaz Kasanova Di Penjara Setahun, 6 Kali Sebatan | “Tertuduh mempunyai 13 perkahwinan yang meragukan dan telah memperdayakan ramai perempuan untuk melangsungkan pernikahan itu sehingga menyebabkan penganiayaan dan pengabaian. Perbuatan tertuduh dibuat dalam keadaan sedar, waras dan tahu ia salah dari segi hukum syarak dan undang-undang Islam.”

Ustaz Kasanova Di Penjara Setahun, 6 Kali Sebatan

Itu merupakan antara intipati penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Nassir Abdul Aziz ketika membaca penghakimannya setebal 24 muka surat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan sebatan enam kali terhadap ‘Ustaz Kasanova’ atau nama sebenarnya, Mohd. Razis Ismail.

Beliau memutuskan demikian hari ini setelah lelaki berusia 34 tahun itu mengaku bersalah pada 29 Februari lalu atas tuduhan melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita berusia 40 tahun sehingga melahirkan seorang anak perempuan pada 6 Disember 2012.

Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh dia mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Razis didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di Jalan Haji Hussein di sini antara Mac hingga Mei 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
Mengikut fakta kes, wanita terbabit telah memfailkan permohonan pengesahan pernikahan namun pada 28 Jun 2011, Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan pernikahan antara mereka adalah tidak sah dan perlu difaraqkan (dipi­sahkan).
Bagaimanapun, pasangan tersebut terus bersekedudukan di beberapa lokasi di Selangor sehingga wanita terbabit mengandung dan melahirkan seorang bayi perem­puan.

Wanita terbabit telah didakwa mengikut Seksyen 23(2) akta sama dan dihukum penjara tiga bulan serta sebatan enam kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin manakala tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai pakaian lokap berwarna kelabu dan bergari tidak diwakili peguam syarie.

Terdahulu, hakim tersebut turut menyatakan walaupun tertuduh telah mengaku bersalah dan memohon agar diberikan hukuman ringan kerana telah insaf dan bertaubat, namun Mohd. Razis tidak menunjukkan bentuk keinsafan yang telah dilakukan dalam mendapatkan pengampunan.

Beliau turut menyatakan, akibat perbuatan dan perwatakan yang dibawa olehnya dalam memperda­yakan wanita sehingga diberi gelaran yang tidak sewajarnya dan menjadi viral di media massa, gelaran ustaz telah dipandang serong dan dihina.

Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Hakim Syarie, Mohd. Saifullah Hamzah menangguhkan sehingga 14 Mac ini untuk jatuh hukum ke atas lelaki terbabit yang telah mengaku bersalah atas lima pertuduhan berpoligami dan bernikah tanpa kebenaran dengan lima wanita berusia antara 24 hingga 40 tahun pada 29 Februari lalu.

Ini bagi membolehkan hakim tersebut meneliti hujah pendakwaan yang baru diterima Jumaat lalu dan juga rayuan tertuduh yang dibuat pada prosiding terdahulu.

Di mahkamah tersebut, Mohd. Razis mengaku bersalah atas tiga pertuduhan cuba berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita lain berumur 24, 35, dan 30 tahun di antara 4 April 2010 dan 26 Ogos 2012 di tiga lokasi di Kedah; Golok, Thailand dan di sebuah rumah flat di Jalan Loke Yew.

Dia turut membuat pengakuan sama bagi dua lagi pertuduhan bernikah dengan wanita berumur 24 dan 40 tahun tanpa mendapat kebenaran pendaftar mahkamah di antara 4 April 2010 dan 26 Mei 2012.

Bagi kesemua lima pertuduhan ini, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 133 dan 40(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Menurut fakta kes, tertuduh didapati telah menggunakan alamat tempat tinggal yang palsu di samping menyembunyikan status sebenarnya dengan menyatakan dia masih bujang untuk mengaburi mangsa.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/8216-ustaz-kasanova-8217-dijel-setahun-enam-sebatan-1.198381


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.