Rabu, 6 April 2016

Rabu, April 06, 2016
Adam Norrodin Menangis Ketika Di Hubungi Bapa | Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin gagal membendung air matanya daripada mengalir keluar sebaik bapanya, Mohd Norrodin Jalil menghubungi remaja berusia 17 tahun itu sejam selepas perlumbaan berakhir di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina, Ahad lalu.

Adam Norrodin Menangis Ketika Di Hubungi Bapa

Perasaan kecewa bercampur aduk dengan kesakitan yang terpaksa ditanggung ekoran kecederaan kaki kiri yang menimpa Adam, membuatkan pelumba Drive M7 SIC Racing Team itu gagal mengawal perasaannya.

Norrodin, 49, yang menceritakan detik sedih itu ketika dihubu­ngi berkata, Adam seorang anak yang tabah dan cekal jiwanya kerana itu didikan yang diterapkan sejak kecil, tetapi apabila ditanyakan tentang keadaannya, anak muda tersebut mengadu yang kaki kirinya berdenyut kesakitan.

“Dia mengadu kepada saya ka­kinya sakit selepas terjatuh daripada motosikal. Dia kemudian menangis, sebagai bapa saya tak mampu nak berbuat apa-apa memandangkan kami jauh di Malaysia.

“Saya cuma maklumkan pada­nya jangan diamkan diri bila sakit. Kena cakap pada pasukan, bagi tahu pengurus kesakitan yang dia tanggung.

“Masalahnya, Adam ni jenis budak yang tak gemar susahkan orang, dia jenis diam kalau sakit, itu yang saya bimbang pada sikap dia itu,” luah Norrodin mengenai putera ketiga­nya itu.

Lebih mengharukan, menurut Norrodin, sebaik saja dia menyerahkan telefon kepada isterinya, Rasimah Sarmidi, 40, untuk berbual dengam Adam, kedua-dua beranak itu menangis kesedihan.

“Saya nak kata apa lagi, ibu dan anak menangis. Saya rasa tangisan Adam itu bercampur baur dengan perasaan kecewanya setelah terjatuh, sedangkan dia berada begitu hampir dengan garisan penamat,” katanya lagi.

Adam yang berasal dari Parit Raja, Johor itu hampir berada di kedudukan kedua ketika perlumbaan Moto3 di Grand Prix Argentina menuju penghujungnya setelah dia memintas Jorge Navarro dari pasukan Estrella Galicia 0,0 di selekoh kedua terakhir.

Namun, kesilapannya mengawal jentera dengan baik mengakibatkan peluang Malaysia menamatkan aksi di kedudukan satu-dua dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Termas de Rio Hondo itu gagal direalisasikan setelah dia terjatuh.

Bagaimanapun, tindakan Adam menyorong motosikalnya sehingga ke garisan penamat memboleh­kan dia menamatkan aksinya di kedudukan ke-11 dan mengutip lima mata berharga setelah melakar masa 42 minit, 21.625 saat menerusi penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sebagai pelumba tetap.

Norrodin memberitahu, sejak kecil Adam dididik agar tidak mudah berputus asa serta sentiasa bersikap profesional setiap kali berdepan krisis dan dia tidak terkejut apabila melihat anaknya bertindak menyorong motosikalnya sehingga ke penghujung perlumbaan.

sumber
http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-motorsikal/adam-menangis-sewaktu-dihubungi-bapa-1.212444


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.