Selasa, 19 April 2016

Selasa, April 19, 2016
Bouncer Kena Penjara 17 Tahun Bunuh Penyamun | “Walaupun mangsa telah melakukan samun, kamu tidak sepatutnya mengambil undang-undang di tangan sendiri dengan memukulnya sehingga menyebabkan kematiannya.”

Bouncer Kena Penjara 17 Tahun Bunuh Penyamun

Demikian ditegaskan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Halim Aman ketika menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun ke atas Mohd. Azrin Shah Mohamed Azraai (gambar) kerana menyebabkan kematian M. Joseph, 26, tiga tahun lepas.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mac 2014. Mohd Azrin, 36, bekerja sebagai ‘bouncer’ atau penjaga di sebuah kafe siber di Petaling Jaya.

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersama-sama tiga lagi yang masih bebas menyebabkan kematian Joseph di sebuah kafe siber di No: D-G-28, Blok D2, Jalan PJS 3/46, Taman Sri Manja, Petaling Jaya antara 7.35 pagi dan 9.50 pagi, pada 5 November 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Abdul Halim turut menegur sikap tertuduh kerana terlalu mengikut nafsu dan perasaan sehingga bertindak melampaui batasan.

“Bagus kamu menjalankan ama­nah diberikan oleh majikan kamu tetapi ia haruslah yang tidak memudaratkan diri sendiri. Benar, mangsa telah menyamun tetapi bukan kuasa kamu untuk tangkap dan pukul dia.

“Perkara di luar bidang kuasa, kita serahkan kepada pihak berkuasa ... kita ada polis. Tugas kamu patut beri amaran (kepada mangsa) dan lapor kepada polis bukan ambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya T. Deepa Nair sementara tertuduh diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan.

– Bernama

sumber
http://www.kosmo.com.my/


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.