Ahad, 17 April 2016

Ahad, April 17, 2016
Di Tembak Bartalu-Talu Sebelum Di Culik | Kesemua 10 kru warga Indonesia di dalam kapal tunda TB Hendry berdepan dengan maut apabila ditembak bertalu-talu oleh pengganas Abu Sayyaf sebelum menculik empat daripada mereka di perairan antarabangsa Filipina-Indonesia berhampiran Pulau Mataking, semalam.

Di Tembak Bartalu-Talu Sebelum Di Culik

Jurucakap Pejabat Konsulat Indonesia di Tawau berkata, tembakan tersebut dilepaskan berikutan kumpulan pengganas tersebut gagal memecahkan pintu dek kapal kerana telah dikunci dari dalam oleh anak-anak kapal yang ketakutan.

Menurutnya, tembakan rambang selama beberapa minit itu telah mencederakan seorang anak kapal di bahagian ketiak menyebabkan kapten kapal terpaksa membuka pintu dan membenarkan mereka masuk.

“Mereka telah menutup pintu bagi menghalang pengganas masuk ke dalam kapal dan terpaksa berlindung kerana dihujani peluru yang ditembak oleh beberapa orang pengganas,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang semalam, empat anak kapal TB Hendry termasuk ketua operasi, kapten kapal serta dua jurutera diculik oleh pengganas Abu Sayyaf dan dipercayai dibawa ke selatan Filipina.

Ketika kejadian, kapal tunda tersebut dalam perjalanan pulang ke Banjarmasin, Indonesia selepas menghantar kira-kira 8,000 tan arang batu ke selatan Filipina.

Jurucakap itu memberitahu, mangsa yang diculik adalah Moch Ariyanto Misnan, Dede Irfan Hilmi, Loren Marinus Petrus Rumawi dan Samsir.

Ujarnya, enam anak kapal yang berjaya diselamatkan pihak berkuasa Malaysia ialah Yohanis Serang, Leonard Sebastian, Sembara Oktafian, Royke Frans Montolalu, Rohaidi serta Lambas Simanungkalit.

Tambahnya, Lambas, 43, telah dikejarkan ke Hospital Tawau manakala dua lagi anak kapal tiba di Pangkalan Polis Marin Lahad Datu pada pukul 10.55 pagi ini menaiki bot PSC 52 dan PSC 51 sementara tiga yang lain tiba di pangkalan tersebut menaiki TB Hendry sambil diiringi polis Malaysia kira-kira pukul 2 petang.

“Terima kasih kepada pasukan keselamatan Malaysia yang segera memberikan bantuan kepada mereka serta menghantar anak kapal yang cedera ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kerajaan Indonesia akan bekerjasama dengan Malaysia untuk menguruskan kesemua anak kapal ini dan pihak kami percaya motif penculikan adalah untuk menuntut wang tebusan kerana semua yang diculik merupakan orang penting TB Hendry,” katanya.

Difahamkan, kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Gaya telah memberi bantuan kepada mangsa sebaik sahaja menerima maklumat kejadian tersebut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada kesemua mangsa yang terselamat untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.

“Kami akan bekerjasama dengan polis Indonesia bagi membantu semua mangsa. Jika masa sesuai, kami juga akan mengambil keterangan,” katanya.

Kejadian penculikan membabitkan kapal tunda itu merupakan yang ketiga didalangi kumpulan Abu Sayyaf dalam tempoh tidak sampai sebulan apabila pada 1 April lalu, empat rakyat Malaysia yang bekerja di kapal tunda Massive 6 diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna.

Sebelum itu, pada 26 Mac lalu, kapal tunda dari Indonesia, Brahman yang turut membawa arang batu dari kepulauan Borneo ke Filipina dipercayai dirampas kumpulan bersenjata manakala kesemua 10 kru kapal yang merupakan warga Indonesia diculik.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ditembak-bertalu-talu-sebelum-diculik-1.273267


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.