Khamis, 21 April 2016

Khamis, April 21, 2016
"Dulu Ramai Yang Cakap Aki Bodoh, Tapi Sekarang.." | “Dulu ramai yang cakap aki bodoh sebab korek tanah guna kuku kambing untuk buat tambak, tapi sekarang ramai orang boleh guna laluan itu untuk ke kebun."

"Dulu Ramai Yang Cakap Aki Bodoh, Tapi Sekarang.."

Demikian luah warga emas di Kampung Lik Ganding, Manap Busu, 80, tentang usahanya menambak tanah untuk membuat jalan yang dilakukannya sejak lebih setahun lalu dengan menggunakan kudrat empat kerat.

Menurutnya, tujuan utama dia membuat tambak di kawasan paya kampung berkenaan adalah untuk memudahkan dia pergi menoreh getah di kebun miliknya.

“Sebelum ini, pekebun di sini termasuk aki kena tinggalkan motor di tepi jalan kemudian jalan kaki redah paya untuk ke kebun.

“Tapi lepas aki buat tambak ni, bukan saja motor, tapi kereta pun boleh lepas masuk ke kawasan kebun... mudah sikit nak angkut hasil getah untuk dijual kepada peraih,” katanya.

Manap yang mempunyai lima anak, 23 cucu dan tiga cicit itu berkata, terdapat beberapa penduduk menyarankannya menggunakan jengkaut bagi memudahkan kerja menambak tapi dia bertegas untuk membuat sendiri menggunakan tenaganya.

Menurutnya, walaupun tangan kirinya tidak dapat berfungsi dengan baik akibat pernah diserang harimau tiga tahun lalu, namun dia tetap mengerah keringat untuk membuat tambak berkenaan.

“Urat saraf pada tangan kiri aki banyak rosak selain ibu jari kanan putus sebab kena gigit harimau.

“Aki tak biasa duduk diam kat rumah sebab tu aki buat tambak ini. Dari suka-suka, sekarang aki dapat tengok hasil kudrat aki sendiri dan bertambah seronok bila orang kampung guna laluan ini menoreh getah,” katanya.

Menjadikan peristiwa diserang harimau pada petang 27 April 2013 lalu sebagai pemangkin semangat, Manap berkata, dia tidak akan mudah berputus asa dan sentiasa berani berdepan sebarang cabaran.

Mengimbas serba sedikit sejarah dia diserang harimau, pesara polis zaman British itu berkata, dia diserang ketika masuk hutan di Kampung Ganding, di sini untuk melihat ternakan kerbau miliknya.

Menurutnya, tanpa diduga dia diserang seekor harimau yang muncul secara tiba-tiba dari arah hadapan.

“Harimau itu terkam aki dari arah depan dan cakar dada serta tangan kiri aki. Aki cuba tolak harimau tu dan tumbuk beberapa kali tapi hujung ibu jari tangan kanan aki digigit hingga putus.

“Aki tak mampu buat apa-apa sebab tak bawa senjata, tapi dengan kudrat yang ada, aki bergelut untuk lepaskan diri,” katanya.

Manap berkata, dia mempunyai kekuatan luar biasa akibat terlalu panik sehingga bertindak menendang haiwan terbabit.

“Nasib baik harimau itu lari selepas kena tendang, kalau tidak, aki tak tahulah apa akan jadi,” katanya.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/korek-tanah-guna-kuku-kambing-1.511471


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.