Khamis, 21 April 2016

Khamis, April 21, 2016
Guru Di Belasah Cuba Lindungi Bekas Pelajar | Seorang lelaki seumpama gila talak apabila sanggup menyepak dan memukul seorang guru wanita yang cuba melindungi bekas isterinya, dalam satu kejadian di Bukit Besar, Sabtu lalu.

Guru Di Belasah Cuba Lindungi Bekas Pelajar

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, suspek, 40, dikatakan telah menyerang kediaman mangsa, 55, yang ketika itu berada bersama bekas isterinya berusia 36 tahun dan merupakan bekas pelajar mangsa sebelum ini.

Tambah sumber, suspek yang tidak memiliki sebarang pekerjaan itu secara tiba-tiba bertindak agresif masuk ke dalam kawasan rumah mangsa dengan mencabut pintu pagar yang berkunci sebelum bertindak memecahkan pintu rumah sehingga tercabut.

“Sejurus masuk ke dalam rumah, suspek meluru ke arah mangsa lalu memukul di kepala serta menyepaknya sehingga guru tersebut terjatuh dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang cuba memberi pelindungan kepada bekas isterinya.

“Tidak puas dengan itu, suspek yang diibaratkan seperti dirasuk hantu telah bertindak memaksa bekas isteri mengikutinya balik ke rumah mereka dengan cara mengheret rambut wanita malang itu sejauh kira-kira 20 kaki,” katanya.

Jelas sumber, mangsa yang tidak sanggup melihat bekas pelajarnya itu dikasari cuba masuk campur dengan menasihati suspek agar tidak bertindak sedemikian menyebabkan lelaki berkenaan semakin naik angin.

“Cubaan mangsa yang masuk campur menyebabkan suspek semakin bengang sehingga gagal mengawal emosinya sebelum sekali lagi memukul guru tersebut menyebabkan kecederaan di jari kirinya.

“Suspek kemudiannya meninggalkan kediaman tersebut dengan bertindak melarikan dua anak lelakinya masing-masing berusia empat tahun dan lapan tahun yang ketika itu turut berada di rumah mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, suspek datang semula ke rumah mangsa sebelum bertindak menarik tangan bekas isterinya sekuat hati bagi memaksa wanita itu masuk ke dalam kereta.

“Kasihan melihat keadaan bekas pelajarnya diperlakukan sedemikian rupa, mangsa sekali lagi cuba menghalang tetapi suspek sempat menutup pintu kereta sebelum beredar dari rumahnya.

“Mangsa yang bimbang akan keselamatan diri dan bekas pelajarnya bersama dua anaknya nekad membuat laporan polis untuk tindakan susulan,” katanya.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/guru-dipukul-akibat-lindungi-bekas-pelajar-1.511484


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.