Khamis, 7 April 2016

Khamis, April 07, 2016
Kerana Agresif, Gadis Di Rantai Pada Bangsal | Hanya kerana didakwa sering bertindak agresif, kaki seorang gadis yang dipercayai mengalami masalah mental diikat dengan menggunakan rantai besi oleh keluarganya di Kampung Sungai Baru Tok Keramat, di Alor Star sejak beberapa bulan lalu.

Kerana Agresif, Gadis Di Rantai Pada Bangsal

Lebih menyedihkan, gadis berusia 20 tahun itu dipercayai dibiarkan tidur di atas tanah dengan hanya berlapik plastik dalam keadaan kaki dirantai pada tiang sebuah bangsal.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali mendakwa mangsa juga jarang diberi makan oleh keluarganya.

“Apabila melihat dia tidur di luar rumah dengan hanya beralaskan plastik, kami berasa kasihan namun tidak dapat berbuat apa-apa.

“Penduduk kampung ada bertemu dan menasihatkan keluarga gadis tersebut tetapi kami pula dimarahi,” katanya.

Gara-gara sudah tidak tahan melihat tindakan tidak berperikemanusiaan itu, penduduk tersebut memberitahu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Alor Janggus, Alor Star semalam.

“Susulan daripada laporan polis yang dibuat, seorang anggota polis datang ke rumah mangsa terbabit untuk melakukan siasatan.

“Anggota itu beritahu, dia telah memberi amaran kepada keluarga tersebut agar tidak lagi mengikat gadis terbabit di luar rumah,” ujarnya.

Difahamkan, ibu mangsa memberi alasan anaknya itu yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sering bertindak agresif sehingga menyebabkannya terpaksa merantai gadis berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais ketika dihubungi berkata, mangsa adalah pesakit mental yang menerima bantuan OKU tidak bekerja seba­nyak RM200 sebulan sejak dua tahun lalu.

“Kita telah menghubungi Jabatan Psikiatri untuk membuat pemeriksaan lanjut terhadap gadis tersebut bagi mengenal pasti tahap penyakitnya itu.

“Selepas memperoleh keputusan itu, baharu kita akan ambil tindakan lanjut. Dalam pada itu, pihak JKM akan memberi kaunseling kepada keluarga tersebut tentang cara penjagaan pesakit mental,” ujarnya.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan pe­ngesahan daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Rohana Omar gagal.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dirantai-pada-bangsal-1.217507


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.