Rabu, 6 April 2016

Rabu, April 06, 2016
Lumba Motorsikal Bukan Sukan "Mewah" | Di sebalik kejayaan manis yang dilakar pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan kehidupan yang penuh gla­mour ekoran perhatian media, ramai yang tidak tahu beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia me­nuntut begitu banyak pengorbanan, terutama soal kewangan.

Lumba Motorsikal Bukan Sukan "Mewah"

Sukan tersebut tidak menjanji­kan pendapatan lumayan buat pelumba negara yang terpaksa berkelana di bumi orang, melainkan penunggang tersebut beraksi buat pasukan besar yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

Bagi Khairul Idham, 17, yang dilahirkan daripada Program Pembangunan Honda, soal kewangan mungkin tidak terlalu menjadi beban memandangkan Honda Asia sudah tentu akan menjaga kebajikan pelumbanya.

Begitu juga dengan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang bernaung di bawah pasukan Petronas Raceline Malaysia.

Namun, bagi pelumba lain, yang bukan dilahirkan dari program pembangunan dua pasukan ber­kenaan, laluan kehidupan mereka lebih getir demi mengejar sebuah cita-cita untuk bergelar pelumba handalan dunia pada satu hari nanti.

Mereka perlu bijak berdikari di bumi orang dan kesukaran itu pernah dilalui bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin yang tidak dimandikan dengan kemewahan oleh Litar Antrabangsa Sepang (SIC) sebelum anak muda berusia 24 tahun itu mengukir kejayaan mendaki ke tangga podium sebanyak dua kali pada 2012.

Untuk memulakan langkah pertama dalam kejuaraan dunia bukanlah satu tugas mudah kerana ada dalam kalangan pelumba yang terpaksa mengikat perut bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka di tempat asing.

Bagi pelumba yang sanggup mengharungi keperitan itu, maka dia akan terus bertahan, namun jika tidak sanggup mengharungi kepayahan hidup, jawapannya pulang sahaja ke Malaysia.

Malah, ada pelumba Malaysia yang hanya separuh jalan berada dalam kejuaraan dunia, kerana tidak sanggup meneruskan kehidupan yang serba kekurangan.

Wang hanya akan memenuhi poket pelumba jika mereka berjaya menjelmakan keputusan yang me­yakinkan, kerana penaja akan mula menghimpit, tetapi bagi pelumba muda yang baharu hendak bertatih dalam kejuaraan dunia, mereka perlu bersusah dulu sebelum menikmati kesenangan hidup.

Jangan terkejut jika ada pelumba yang diberi elaun sebanyak 300 euro (RM1,341) sebulan sebagai duit poket mereka. Bagaimanapun, bagi pelumba yang cekal, mereka akan terbiasa de­ngan kehidupan berjimat cermat itu.

Ia telah dibuktikan sendiri oleh Zulfahmi yang bijak menyeliakan soal kewangannya ketika berkelana di Eropah.

Malah, berkat usaha kerasnya, bekas pelumba Red Bull KTM Ajo dan Drive M7 SIC Racing Team itu, berjaya menarik penaja untuk menyokongnya dalam kejuaraan dunia.

Hakikatnya untuk menjadi individu hebat, pasti ada pengorbanan yang perlu dilakukan.

Begitu juga perihalnya dengan pelumba yang bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia kerana rata-rata daripada mereka bukanlah datang daripada keluarga berada seperti mana pemandu Formula Satu (F1) yang kebanyakannya lahir dalam `dulang emas’.

Ternyata sokongan penaja dari sektor swasta amat ditagih pelumba-pelumba muda ini untuk mengembangkan karier mereka di peringkat yang lebih tinggi.

Dalam masa sama sokongan Kementerian Belia dan Sukan amat diperlukan bagi memberikan perhatian terhadap potensi sukan ini.

Mungkin pada satu hari kelak, dengan program pembangunan dan platform yang lebih baik, kebajikan pelumba-pelumba Malaysia yang berhasrat mengembangkan sayap mereka ke peringkat dunia akan lebih terjamin.

sumber
http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-motorsikal/motosikal-bukan-sukan-8216-mewah-8217-1.212423


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.