Rabu, 2 November 2016

Rabu, November 02, 2016
"Ilmu Hutan" Bantu Kelangsungan Hidup Warga Australia Selepas 12 hari Sesat,ok? | Berbekalkan sedikit 'ilmu hutan', termasuk kemahiran mengenali jenis tumbuhan boleh dimakan, Andrew James Gaskell, 26, masih mampu untuk hidup selepas 12 hari dilaporkan hilang ketika 'menjelajah' Taman Negara Mulu.

"Ilmu hutan" Bantu Kelangsungan Hidup Warga Australia Selepas 12 hari Sesat

Malah, sepanjang tempoh itu juga, Gaskell yang berasal dari Australia turut berkesempatan 'menjamah' pucuk paku pakis, selain bergantung kepada  air sungai untuk meneruskan kelangsungan hidup sebelum ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 1 tengah hari.

Bagi jurutera berpengalaman itu, peristiwa berkenaan pasti tidak akan dilupakannya sepanjang hayat, malah beliau turut menghargai dedikasi pasukan SAR, terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam usaha menjejakinya walaupun berdepan pelbagai cabaran, khususnya faktor cuaca di lokasi kejadian.

"Terima Kasih Malaysia... Terima Kasih Sarawak. Tidak mungkin saya dapat melupakan pengalaman ini," katanya ketika ditemui media sejurus tiba di Hospital Miri, semalam selepas diterbangkan dari Taman Negara Mulu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketibaan Gaskell disambut oleh beberapa anggota keluarganya yang datang dari Australia untuk membantu gerakan mencari dan menyelamat.

Gaskel berkata, untuk tempoh seminggu selepas sesat beliau hanya bergantung hidup kepada air sungai sebagai minuman tanpa menjamah sebarang makanan.

"Hanya tiga hari lalu, saya mula mencari makanan iaitu paku pakis untuk dimakan. Bukan untuk kenyang, namun sekadar mengalas perut, menahan lapar dan memastikan saya terus bertenaga untuk mencari jalan keluar.

"Syukur semuanya selamat, malah saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius kecuali luka gigitan pacat dan nyamuk," katanya.    Gaskell dilaporkan hilang pada 20 Oktober lalu, sebelum operasi SAR dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dengan kerjasama agensi berkaitan, termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Sarawak Forestry Corporation sejurus dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata pelancong asing berkenaan ditemui dalam keadaan kepenatan, namun cukup bersemangat.

Katanya, sejurus ditemui, mangsa diberikan air minuman sebelum diberikan rawatan kecemasan oleh anggota bertugas, seterusnya diterbangkan ke Hospital Miri menggunakan helikopter Mi-17.

"Mangsa ditemui di lokasi dikenali sebagai `Hidden Valley' dalam kawasan pencarian 'Camp 1' kira-kira jam 1 tengah hari tadi. Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan kecuali dalam keadaan lemah dan kepenatan.

"Mangsa kemudian dinaikkan ke helikopter milik Unit Udara Bomba dan Penyelamat menggunakan teknik 'winching' sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Mulu untuk pemeriksaan awal, seterusnya dipindahkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut," katanya.

Farhan berkata, pasukan penyelamat berdepan pelbagai cabaran dalam usaha menjejak dan menyelamat dilaksanakan disebabkan faktor muka bumi, selain keadaan cuaca tidak menentu, termasuk angin kencang di lokasi kejadian.

"Hujan lebat menyebabkan laluan di lokasi pencarian agak licin dan merbahaya, malah arus sungai juga agak deras menyebabkannya sukar menyeberang.

"Namun, pegawai dan anggota kita cukup bersemangat meneruskan operasi sehingga berjaya menemui mangsa," katanya. INFO Taman Negara Mulu antara tujuh Tapak Warisan Dunia Berkeluasan 544 kilometer persegi 63 pegawai dan anggota penyelamat terbabit dalam operasi SAR

sumber
http://www.bharian.com.my/node/208375


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.