Selasa, 14 Mac 2017

Selasa, Mac 14, 2017
Ketua Pemuda Johor & Kekasih Direman Sekali Lagi,ok!: Seorang Ketua Pemuda UMNO bahagian di Johor sekali lagi ditahan reman bersama teman wanitanya, semalam bagi membantu siasatan bersabit kes penipuan.

Ketua Pemuda Johor & Kekasih Direman Sekali Lagi

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri, membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman dua hari bermula hari ini.

Kedua-dua suspek yang berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan bersabit dengan satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara berkaitan kes penipuan tawaran memiliki Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Lelaki dan wanita itu yang juga seorang peniaga, diwakili peguam Mohd Hilmy Samsudin dan Hafez Zulkapli.

Mohd Hilmy berkata, beliau memohon kepada mahkamah supaya kedua-dua anak guamnya tidak ditahan reman kerana Rabu lalu mereka sudah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkait kes yang sama.

"Sebelum ini anak guam saya ditahan reman tiga hari, kemudian disambung reman lagi dua hari berhubung kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, namun hari ini direman sekali berhubung laporan polis baharu berkait seksyen yang sama.

"Bagaimanapun, saya menghormati keputusan mahkamah dan ini juga adalah hak polis bagi mendapatkan reman terhadap anak guam saya," katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan tahanan reman selama tiga hari terhadap kedua-dua suspek hingga Jumaat lalu.

Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri kira-kira jam 5 petang pada Selasa lalu untuk diambil keterangan.

Kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam penipuan tawaran memiliki RMMJ membabitkan empat mangsa dengan jumlah kerugian RM120,000 sejak tahun lalu.

Difahamkan penipuan itu terbongkar selepas mangsa mendapati namanya tidak terdapat dalam rekod permohonan selepas membuat semakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

sumber
http://www.bharian.com.my/node/259513?


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.