Jumaat, 7 April 2017

Jumaat, April 07, 2017
Makcik Mangsa Pukau Ucap Terima Kasih Kepada 2 Hero,ok!: “Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam, terutama dua 'hero' yang menyelamatkan saya. Jika tiada mereka mungkin lesaplah RM1,000 itu," kata wanita yang hampir menjadi mangsa samun empat lelaki Pakistan berhampiran sebuah bank di Taman Maluri, Cheras, Isnin lalu.

Makcik Mangsa Pukau Ucap Terima Kasih Kepada 2 Hero

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, wang tunai RM1,000 yang cuba dimasukkannya ke mesin deposit tunai (CDM) dirampas tiga lelaki Pakistan manakala seorang lagi menunggu di luar bank.

Menurutnya, dia amat terhutang budi kepada kesemua orang awam yang membantu.

“Kepada semua yang berada di tempat kejadian, saya amat hargai keprihatinan anda. Malah kepada dua hero yang bantu saya tempoh hari, saya ucapkan ribuan terima kasih.

"Hanya Tuhan mampu membalas," katanya.

Bagaimanapun, keempat-empat mereka tersilap langkah apabila tindakan itu disedari orang awam menyebabkan mereka dibelasah orang ramai hingga berlumuran darah.

Menceritakan kembali kejadian itu, wanita berusia 54 tahun itu berkata, dia bersama anak perempuannya berusia 16 tahun mahu memasukkan wang ke dalam CDM apabila tiga lelaki datang.

“Mereka mengepung saya, meminta anak saya beranjak ke belakang. Seorang daripada mereka mengambil not RM50 yang ketika itu tidak diterima mesin CDM.

“Dia beritahu cara memasukkan wang itu salah dan menyuruh saya memandang mukanya, mungkin untuk menarik perhatian atau cuba memukau," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa berkata, dalam kekecohan itu, seorang daripada mereka membatalkan arahan pada CDM menyebabkan semua wang keluar semula daripada mesin.

“Mereka ambil duit itu dan melarikan diri. Saya waktu itu bingung, langsung tidak menyedari apa yang berlaku.

“Namun, saya bernasib baik kerana seorang orang awam yang menyedari kejadian itu menjerit memberitahu duit dicuri," katanya.

Menurutnya, hasil bantuan orang ramai, ketiga-tiga penjenayah bersama seorang rakan mereka yang menunggu dalam kereta, berjaya ditahan.

“Berlaku pergelutan antara penjenayah dengan orang awam. Seorang lelaki mengambil wang yang dicuri dan menyerahkannya kepada saya.

“Saya yang masih terpinga-pinga, hanya sempat mengucapkan terima kasih," katanya yang membuat laporan polis pada 8 malam, hari yang sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, suspek dibelasah orang ramai hingga menyebabkan dua daripadanya cedera di kepala.

“Siasatan mendapati semua suspek datang ke lokasi dengan kereta Proton Wira yang cermin belakang pecah," katanya.

via
Harian Metro


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.